Sunday, July 1, 2007

SAHABAT BAGAIKAN TANGAN DAN MATA

Saya menerima SMS ucapan selamat hari persahabatan dari dua orang kawan. Pertama, seorang kawan yang selalu menjadi teman bicara pada setiap malam minggu sambil menikmati secawan gano 'o'. Isu perbincangan selalunya berkisar kepada ekonomi dan politik bangsa Melayu. Pertemuan itu hanya berlarutan selama lebih kurang setahun dan kini hampir setahun tidak bersua muka kerana beliau sibuk dengan tugas sebagai pegawai kepada seorang Setiausaha Politik. Kedua, seorang kawan yang sudah 5 tahun kenal melalui golf sosial dan tinggal nun jauh di Selangor. Hanya beberapa bulan ini kami mulai akrab dan dapat memahami akal dan budi masing-masing.

Saya amat bersyukur kerana mereka ikhlas menjalinkan silaturrahim..yang seorang pernah berkata "kita bertemu dan bersahabat kerana Allah swt yang menentukannya", manakala yang seorang lagi pula menyatakan bahawa beliau sentiasa memohon kepada Allah swt agar beliau mudah menjalinkan silaturrahim sesama manusia. Daripada tidak kenal, menjadi kenal. Dah kenal menjadi kawan. Bila dah berkawan menjadi akrab, bila dah akrab menjadi saudara. Walaupun kini saya tidak menemui mereka berdua, tapi mereka sebenarnya berada dekat di hati saya.

Tambahan pula apabila menerima SMS ucapan yang menyatakan "Persahabatan itu seperti tangan dan mata. Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis, tangan menghapusnya..".

Jauh di sudut hati, saya mengharapkan moga di saat tangan terluka jangan pula bibir mulut yang memberi senyuman gembira. Relakanlah titisan airmata membasahi muka. Dan di saat mata menangis jangan pula dibiarkan ianya kering begitu sahaja di muka, biarkanlah tangan yang hapuskannya...Untuk itu kita tidak dapat nafikan bahawa tangan dan mata saling memerlukan. Ikatan persahabatan yang terjalin sememangnya begitu...saat berlakunya silap bicara dan sengketa, kena ada yang sanggup memaafkan dan cepat melupakannya. Jangan biarkan ada sekelumit dendam terasa malah tukarkan ia menjadi segunung sayang sepenuh jiwa..

Hanya doa ku pohon agar silaturrahim dengan semua sahabatku sekalian berkekalan hingga ke akhirnya. Ampun dan Maaf ku pinta.

1 comment:

Anonymous said...

Ameen.