Monday, September 3, 2007

KENAPA MERINDU?

Kali ini ada jawapannya mengapa aku terlalu merindu kepada sahabat-sahabat yang berada nun jauh di negeri di bawah bayu. Kenangan bersama mereka kembali terbayang di ruangan mata, seakan terdengar gelak tawa dan tangis hiba. Kini, rindu hadir tanpa diseru dan tak kira waktu. Seakan terngiang di telinga ucapan pedih tika bersengketa tapi hati tetap berkata...kaulah sahabat kaulah saudara. Kami segera menjernihkan suasana. Hubungan persahabatan semakin erat dan kini telah mengjangkau usia 2 dekad lamanya.

Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat, Jamieh Hj Marusin. Tanpa disedari aku menangis sedih sambil mengenangkan saat pertemuan terakhir kami di Pekan Tuaran setahun yang lalu. Beliau sangat gembira tika itu dan sempat memperkenalkan cucu sulungnya dan selepas itu bersungguh-sungguh menjemput kerumahnya di Sg. Damit. Lamunan ini terhenti seketika dan aku kembali sedar dan bertanya, benarkah Jamieh yang meninggal?, kenapakah tiada seorang pun di antara sahabat kami yang terlebih dulu memberitahuku? Lantas aku menghubungi Jasman di Kota Kinabalu dan beliau pun terkejut mendengarnya dan berjanji untuk segera mendapatkan berita yang sahih. Keesokannya, Jasman mengirim SMS yang berbunyi, "hapuskanlah airmatamu, bukan Jamieh yang meninggal tapi adiknya, al Fatihah buat Sapiee."

Sejenak hati kembali tenang dan segera memikirkan, apakah ini ujian Allah swt padaku? Hanya ada rasa rindu pada sahabat yang telah pergi buat selamanya. Sedangkan selama hayatnya lupa untuk selalu bertanya kabar berita, susah senangnya, sakit demamnya tidak pula nak ambil tahu. Sdr Jamieh dan sahabat sekalian, aku berjanji akan selalu menghubungi kalian, InsyaAllah. Sesungguhnya, aku tak sanggup lagi untuk menanggung rindu yang sebegitu!

Tuesday, August 28, 2007

Catatan di Hari Jadi

Hampir terlupa untuk membuat catatan kehidupan pada bulan ini. Pada 10 Ogos telah genap usia 43 tahun. Sambutan hari jadi kali ini memang mengejutkan kerana isteri dan anak-anak meraikan pada 9 Ogos, jam 9 malam. Selesai menonton Buletin Utama TV3, masing-masing keluar membawa kek dan hadiah. Kelu lidah tak dapat berkata...terharu rasa di kalbu. Segera anak bungsu menjelaskan, "kan esok pagi papa nak ke Shah Alam dan Segamat, jadi kita sambut harijadi papa malam ni lah". Terima kasih anak-anak kesayanganku. Terima kasih isteri, kau kekasih awal dan akhirku.

Keesokannya, setelah habis mesyuarat di Shah Alam aku dan dua orang sahabat, Sdr Kamil dan Sdr Azizul bertolak ke Segamat untuk menyertai Segamat Masters. Sekali lagi hari jadi diraikan di pertengahan jalan, Tangkak. Sekadar cuma 1 biji durian kawin dari Pahang untuk kami bertiga. Itu sudah cukup untuk aku menghargai dan mengabadi dalam memori persahabatan.

Dalam pertandingan keesokannya pula, aku memenangi kategori novelty 'ntp' berupa sekampit beras Faiza dan 2 tiub bola. Sungguh gembira kerana ini juga berupa hadiah pada hari jadi. Syukur..

Kerana banyak aktiviti dan tugas yang perlu dilaksanakan, harijadi tahun ini aku terlupa seketika bahawa angka usia telah bertambah satu, lupa nikmat yang Allah berikan selama ini, tidak menyedari amalan selama 42 tahun belum mencukupi dan perlu muhasabah diri. Dunia kata pergi kubur kata mari...Kesedaran ini terdetik tatkala aku terlupa untuk menjemput anak di sekolah walaupun baru 2 minit menerima panggilan telefonnya, keluar dari rumah menaiki kereta dan melewati sekolahnya (tapi tidak berhenti) sehinggalah hampir 10 km pemanduan baru menyedari bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjemput anak dan segera berpatah balik ke sekolah..Sepanjang jalan aku beristigfar, mohon keampunanMu ya Allah, aku tidak lagi muda seperti dulu, dah tua rupanya aku, teguhkan imanku dan hatiku yang sentiasa mengingati kekuasaanMu ya Allah...

Monday, July 23, 2007

ANGKARA PENA INI.....

Baru beberapa bulan pengalaman terlibat secara langsung dengan blog, didapati ramai di luar sana yang minat berkarya. Dengan mata pena tak bertinta ini, mereka menulis tentang kisah sendiri untuk kenangan dan rujukan masa depan, tentang isu semasa dan apa sahaja.

Kebanyakannya amat berbakat, mudah menarikan pena tak bertinta dengan penuh ilmu dan jiwa, serius menzahirkannya dengan kata penuh makna. Namun ada juga yang sekadar suka-suka berkarya, ceria berjenaka. Tak kurang juga mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan yang mencengkam di dada. Macam-macam ada...sehingga ada komen-komen yang menghiris rasa seakan ada watak di depan mata walhal semuanya tercetus di alam maya. Semuanya kerna pena ini yang tak bertinta. Tajamnya mata pena ini dan lebih berbisa dari mana-mana mata pedang yang ada. Tak hairanlah kalau ada yang dipanggil pihak berkuasa angkara tulisannya yang konon menjolok mata mengancam negara.

Inilah senario dunia di alam maya. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Mesej yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, maka ia akan menjadi penulisan yang disia-siakan.

Al kisah pengalamanku pula yang tak seluas mana, aku suka menulis ketika aku ingin menulis. Aku harapkan agar penulisanku walaupun sedikit dapat membawa perubahan kepada jiwa-jiwa yang membacanya. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Menulislah....biar sedikit dari tidak ada langsung.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya, mudah kerna pena ini tiada tintanya. Cuba lihat penulis dulu, walau yang tertulis itu dengan tinta yang hitam warna, 'hitam bagai arang, sekali terpalit tak mungkin terpadam'. Renungkanlah........

Sunday, July 1, 2007

SAHABAT BAGAIKAN TANGAN DAN MATA

Saya menerima SMS ucapan selamat hari persahabatan dari dua orang kawan. Pertama, seorang kawan yang selalu menjadi teman bicara pada setiap malam minggu sambil menikmati secawan gano 'o'. Isu perbincangan selalunya berkisar kepada ekonomi dan politik bangsa Melayu. Pertemuan itu hanya berlarutan selama lebih kurang setahun dan kini hampir setahun tidak bersua muka kerana beliau sibuk dengan tugas sebagai pegawai kepada seorang Setiausaha Politik. Kedua, seorang kawan yang sudah 5 tahun kenal melalui golf sosial dan tinggal nun jauh di Selangor. Hanya beberapa bulan ini kami mulai akrab dan dapat memahami akal dan budi masing-masing.

Saya amat bersyukur kerana mereka ikhlas menjalinkan silaturrahim..yang seorang pernah berkata "kita bertemu dan bersahabat kerana Allah swt yang menentukannya", manakala yang seorang lagi pula menyatakan bahawa beliau sentiasa memohon kepada Allah swt agar beliau mudah menjalinkan silaturrahim sesama manusia. Daripada tidak kenal, menjadi kenal. Dah kenal menjadi kawan. Bila dah berkawan menjadi akrab, bila dah akrab menjadi saudara. Walaupun kini saya tidak menemui mereka berdua, tapi mereka sebenarnya berada dekat di hati saya.

Tambahan pula apabila menerima SMS ucapan yang menyatakan "Persahabatan itu seperti tangan dan mata. Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis, tangan menghapusnya..".

Jauh di sudut hati, saya mengharapkan moga di saat tangan terluka jangan pula bibir mulut yang memberi senyuman gembira. Relakanlah titisan airmata membasahi muka. Dan di saat mata menangis jangan pula dibiarkan ianya kering begitu sahaja di muka, biarkanlah tangan yang hapuskannya...Untuk itu kita tidak dapat nafikan bahawa tangan dan mata saling memerlukan. Ikatan persahabatan yang terjalin sememangnya begitu...saat berlakunya silap bicara dan sengketa, kena ada yang sanggup memaafkan dan cepat melupakannya. Jangan biarkan ada sekelumit dendam terasa malah tukarkan ia menjadi segunung sayang sepenuh jiwa..

Hanya doa ku pohon agar silaturrahim dengan semua sahabatku sekalian berkekalan hingga ke akhirnya. Ampun dan Maaf ku pinta.

Sunday, June 10, 2007

PASUKAN GOLF UiTM; JUARA LAGI

Sekalung tahniah untuk pasukan golf UiTM yang telah sekali lagi menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan golf antara universiti tahun ini. Hasil kerja keras semua pemain, Presiden Kelab dan Kapten sesungguhnya telah membuahkan hasil dan usaha ini tidak sia-sia malah secara langsung turut menaikkan imej dan reputasi universiti.

tahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniah!!!!!!!!!!!

Saturday, June 9, 2007

WARNA KEHIDUPAN

Terlebih dahulu saya mohon maaf pada teman-teman (khasnya anai-anai) kerana blog terpaksa 'off' untuk tempoh yang agak lama disebabkan PC mengalami masalah teknikal dan sibuk dengan tugas-tugas lain.

Banyak pengalaman baru di alami sepanjang tempoh tersebut yang lebih memberi warna dalam kehidupan. Antaranya:-

  1. Dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Koperasi.
  2. Disyaki terlibat memecah cermin tingkap kereta semasa menginap di salah sebuah hotel di Shah Alam.
  3. Terlibat dalam pertandingan golf semasa Karnival Sukan Antara Kampus dan akan menyertai pula dalam Karnival Sukan Antara Universiti pada minggu depan.
  4. Menghantar sahabat karib mengerjakan umrah di LCCT
  5. Bersama keluarga menikmati pemandangan indah kota raya Kuala Lumpur melalui Mata Malaysia.
Kisah lanjut....tunggu selepas ini!!!

Sunday, May 13, 2007

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 18

Sekadar untuk mengabadikan kenangan pada hari ulangtahun perkahwinan kami selama 18 tahun...


KERANA KAU DAN AKU

Kerana kau telah kupanggil isteri
Masa lalu tenggelam bersama bulan bersama matahari
Masa depan terhidang kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria, entah tak ada, ianya amat misteri

Kerana aku telah dipanggil suami
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari

Perkahwinan adalah kota maaf bergerbang setia
Simpanlah aib kerana ia rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
Kutiplah bunga damai di sisi hari

Dalam belantara cinta yang menyala
Perkahwinan anugerah dari tepukan bahagia
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restuMu Illahi, Rabbul Izzati

Kerana kau...
Isteri adalah nadi jiwa
Kerana aku...
Suami adalah kemudi bahtera