Monday, July 23, 2007

ANGKARA PENA INI.....

Baru beberapa bulan pengalaman terlibat secara langsung dengan blog, didapati ramai di luar sana yang minat berkarya. Dengan mata pena tak bertinta ini, mereka menulis tentang kisah sendiri untuk kenangan dan rujukan masa depan, tentang isu semasa dan apa sahaja.

Kebanyakannya amat berbakat, mudah menarikan pena tak bertinta dengan penuh ilmu dan jiwa, serius menzahirkannya dengan kata penuh makna. Namun ada juga yang sekadar suka-suka berkarya, ceria berjenaka. Tak kurang juga mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan yang mencengkam di dada. Macam-macam ada...sehingga ada komen-komen yang menghiris rasa seakan ada watak di depan mata walhal semuanya tercetus di alam maya. Semuanya kerna pena ini yang tak bertinta. Tajamnya mata pena ini dan lebih berbisa dari mana-mana mata pedang yang ada. Tak hairanlah kalau ada yang dipanggil pihak berkuasa angkara tulisannya yang konon menjolok mata mengancam negara.

Inilah senario dunia di alam maya. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Mesej yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, maka ia akan menjadi penulisan yang disia-siakan.

Al kisah pengalamanku pula yang tak seluas mana, aku suka menulis ketika aku ingin menulis. Aku harapkan agar penulisanku walaupun sedikit dapat membawa perubahan kepada jiwa-jiwa yang membacanya. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Menulislah....biar sedikit dari tidak ada langsung.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya, mudah kerna pena ini tiada tintanya. Cuba lihat penulis dulu, walau yang tertulis itu dengan tinta yang hitam warna, 'hitam bagai arang, sekali terpalit tak mungkin terpadam'. Renungkanlah........

No comments: