Monday, September 3, 2007

KENAPA MERINDU?

Kali ini ada jawapannya mengapa aku terlalu merindu kepada sahabat-sahabat yang berada nun jauh di negeri di bawah bayu. Kenangan bersama mereka kembali terbayang di ruangan mata, seakan terdengar gelak tawa dan tangis hiba. Kini, rindu hadir tanpa diseru dan tak kira waktu. Seakan terngiang di telinga ucapan pedih tika bersengketa tapi hati tetap berkata...kaulah sahabat kaulah saudara. Kami segera menjernihkan suasana. Hubungan persahabatan semakin erat dan kini telah mengjangkau usia 2 dekad lamanya.

Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat, Jamieh Hj Marusin. Tanpa disedari aku menangis sedih sambil mengenangkan saat pertemuan terakhir kami di Pekan Tuaran setahun yang lalu. Beliau sangat gembira tika itu dan sempat memperkenalkan cucu sulungnya dan selepas itu bersungguh-sungguh menjemput kerumahnya di Sg. Damit. Lamunan ini terhenti seketika dan aku kembali sedar dan bertanya, benarkah Jamieh yang meninggal?, kenapakah tiada seorang pun di antara sahabat kami yang terlebih dulu memberitahuku? Lantas aku menghubungi Jasman di Kota Kinabalu dan beliau pun terkejut mendengarnya dan berjanji untuk segera mendapatkan berita yang sahih. Keesokannya, Jasman mengirim SMS yang berbunyi, "hapuskanlah airmatamu, bukan Jamieh yang meninggal tapi adiknya, al Fatihah buat Sapiee."

Sejenak hati kembali tenang dan segera memikirkan, apakah ini ujian Allah swt padaku? Hanya ada rasa rindu pada sahabat yang telah pergi buat selamanya. Sedangkan selama hayatnya lupa untuk selalu bertanya kabar berita, susah senangnya, sakit demamnya tidak pula nak ambil tahu. Sdr Jamieh dan sahabat sekalian, aku berjanji akan selalu menghubungi kalian, InsyaAllah. Sesungguhnya, aku tak sanggup lagi untuk menanggung rindu yang sebegitu!

Tuesday, August 28, 2007

Catatan di Hari Jadi

Hampir terlupa untuk membuat catatan kehidupan pada bulan ini. Pada 10 Ogos telah genap usia 43 tahun. Sambutan hari jadi kali ini memang mengejutkan kerana isteri dan anak-anak meraikan pada 9 Ogos, jam 9 malam. Selesai menonton Buletin Utama TV3, masing-masing keluar membawa kek dan hadiah. Kelu lidah tak dapat berkata...terharu rasa di kalbu. Segera anak bungsu menjelaskan, "kan esok pagi papa nak ke Shah Alam dan Segamat, jadi kita sambut harijadi papa malam ni lah". Terima kasih anak-anak kesayanganku. Terima kasih isteri, kau kekasih awal dan akhirku.

Keesokannya, setelah habis mesyuarat di Shah Alam aku dan dua orang sahabat, Sdr Kamil dan Sdr Azizul bertolak ke Segamat untuk menyertai Segamat Masters. Sekali lagi hari jadi diraikan di pertengahan jalan, Tangkak. Sekadar cuma 1 biji durian kawin dari Pahang untuk kami bertiga. Itu sudah cukup untuk aku menghargai dan mengabadi dalam memori persahabatan.

Dalam pertandingan keesokannya pula, aku memenangi kategori novelty 'ntp' berupa sekampit beras Faiza dan 2 tiub bola. Sungguh gembira kerana ini juga berupa hadiah pada hari jadi. Syukur..

Kerana banyak aktiviti dan tugas yang perlu dilaksanakan, harijadi tahun ini aku terlupa seketika bahawa angka usia telah bertambah satu, lupa nikmat yang Allah berikan selama ini, tidak menyedari amalan selama 42 tahun belum mencukupi dan perlu muhasabah diri. Dunia kata pergi kubur kata mari...Kesedaran ini terdetik tatkala aku terlupa untuk menjemput anak di sekolah walaupun baru 2 minit menerima panggilan telefonnya, keluar dari rumah menaiki kereta dan melewati sekolahnya (tapi tidak berhenti) sehinggalah hampir 10 km pemanduan baru menyedari bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjemput anak dan segera berpatah balik ke sekolah..Sepanjang jalan aku beristigfar, mohon keampunanMu ya Allah, aku tidak lagi muda seperti dulu, dah tua rupanya aku, teguhkan imanku dan hatiku yang sentiasa mengingati kekuasaanMu ya Allah...

Monday, July 23, 2007

ANGKARA PENA INI.....

Baru beberapa bulan pengalaman terlibat secara langsung dengan blog, didapati ramai di luar sana yang minat berkarya. Dengan mata pena tak bertinta ini, mereka menulis tentang kisah sendiri untuk kenangan dan rujukan masa depan, tentang isu semasa dan apa sahaja.

Kebanyakannya amat berbakat, mudah menarikan pena tak bertinta dengan penuh ilmu dan jiwa, serius menzahirkannya dengan kata penuh makna. Namun ada juga yang sekadar suka-suka berkarya, ceria berjenaka. Tak kurang juga mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan yang mencengkam di dada. Macam-macam ada...sehingga ada komen-komen yang menghiris rasa seakan ada watak di depan mata walhal semuanya tercetus di alam maya. Semuanya kerna pena ini yang tak bertinta. Tajamnya mata pena ini dan lebih berbisa dari mana-mana mata pedang yang ada. Tak hairanlah kalau ada yang dipanggil pihak berkuasa angkara tulisannya yang konon menjolok mata mengancam negara.

Inilah senario dunia di alam maya. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Mesej yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, maka ia akan menjadi penulisan yang disia-siakan.

Al kisah pengalamanku pula yang tak seluas mana, aku suka menulis ketika aku ingin menulis. Aku harapkan agar penulisanku walaupun sedikit dapat membawa perubahan kepada jiwa-jiwa yang membacanya. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Menulislah....biar sedikit dari tidak ada langsung.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya, mudah kerna pena ini tiada tintanya. Cuba lihat penulis dulu, walau yang tertulis itu dengan tinta yang hitam warna, 'hitam bagai arang, sekali terpalit tak mungkin terpadam'. Renungkanlah........

Sunday, July 1, 2007

SAHABAT BAGAIKAN TANGAN DAN MATA

Saya menerima SMS ucapan selamat hari persahabatan dari dua orang kawan. Pertama, seorang kawan yang selalu menjadi teman bicara pada setiap malam minggu sambil menikmati secawan gano 'o'. Isu perbincangan selalunya berkisar kepada ekonomi dan politik bangsa Melayu. Pertemuan itu hanya berlarutan selama lebih kurang setahun dan kini hampir setahun tidak bersua muka kerana beliau sibuk dengan tugas sebagai pegawai kepada seorang Setiausaha Politik. Kedua, seorang kawan yang sudah 5 tahun kenal melalui golf sosial dan tinggal nun jauh di Selangor. Hanya beberapa bulan ini kami mulai akrab dan dapat memahami akal dan budi masing-masing.

Saya amat bersyukur kerana mereka ikhlas menjalinkan silaturrahim..yang seorang pernah berkata "kita bertemu dan bersahabat kerana Allah swt yang menentukannya", manakala yang seorang lagi pula menyatakan bahawa beliau sentiasa memohon kepada Allah swt agar beliau mudah menjalinkan silaturrahim sesama manusia. Daripada tidak kenal, menjadi kenal. Dah kenal menjadi kawan. Bila dah berkawan menjadi akrab, bila dah akrab menjadi saudara. Walaupun kini saya tidak menemui mereka berdua, tapi mereka sebenarnya berada dekat di hati saya.

Tambahan pula apabila menerima SMS ucapan yang menyatakan "Persahabatan itu seperti tangan dan mata. Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis, tangan menghapusnya..".

Jauh di sudut hati, saya mengharapkan moga di saat tangan terluka jangan pula bibir mulut yang memberi senyuman gembira. Relakanlah titisan airmata membasahi muka. Dan di saat mata menangis jangan pula dibiarkan ianya kering begitu sahaja di muka, biarkanlah tangan yang hapuskannya...Untuk itu kita tidak dapat nafikan bahawa tangan dan mata saling memerlukan. Ikatan persahabatan yang terjalin sememangnya begitu...saat berlakunya silap bicara dan sengketa, kena ada yang sanggup memaafkan dan cepat melupakannya. Jangan biarkan ada sekelumit dendam terasa malah tukarkan ia menjadi segunung sayang sepenuh jiwa..

Hanya doa ku pohon agar silaturrahim dengan semua sahabatku sekalian berkekalan hingga ke akhirnya. Ampun dan Maaf ku pinta.

Sunday, June 10, 2007

PASUKAN GOLF UiTM; JUARA LAGI

Sekalung tahniah untuk pasukan golf UiTM yang telah sekali lagi menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan golf antara universiti tahun ini. Hasil kerja keras semua pemain, Presiden Kelab dan Kapten sesungguhnya telah membuahkan hasil dan usaha ini tidak sia-sia malah secara langsung turut menaikkan imej dan reputasi universiti.

tahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniahtahniah!!!!!!!!!!!

Saturday, June 9, 2007

WARNA KEHIDUPAN

Terlebih dahulu saya mohon maaf pada teman-teman (khasnya anai-anai) kerana blog terpaksa 'off' untuk tempoh yang agak lama disebabkan PC mengalami masalah teknikal dan sibuk dengan tugas-tugas lain.

Banyak pengalaman baru di alami sepanjang tempoh tersebut yang lebih memberi warna dalam kehidupan. Antaranya:-

  1. Dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Koperasi.
  2. Disyaki terlibat memecah cermin tingkap kereta semasa menginap di salah sebuah hotel di Shah Alam.
  3. Terlibat dalam pertandingan golf semasa Karnival Sukan Antara Kampus dan akan menyertai pula dalam Karnival Sukan Antara Universiti pada minggu depan.
  4. Menghantar sahabat karib mengerjakan umrah di LCCT
  5. Bersama keluarga menikmati pemandangan indah kota raya Kuala Lumpur melalui Mata Malaysia.
Kisah lanjut....tunggu selepas ini!!!

Sunday, May 13, 2007

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE 18

Sekadar untuk mengabadikan kenangan pada hari ulangtahun perkahwinan kami selama 18 tahun...


KERANA KAU DAN AKU

Kerana kau telah kupanggil isteri
Masa lalu tenggelam bersama bulan bersama matahari
Masa depan terhidang kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria, entah tak ada, ianya amat misteri

Kerana aku telah dipanggil suami
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari

Perkahwinan adalah kota maaf bergerbang setia
Simpanlah aib kerana ia rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
Kutiplah bunga damai di sisi hari

Dalam belantara cinta yang menyala
Perkahwinan anugerah dari tepukan bahagia
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restuMu Illahi, Rabbul Izzati

Kerana kau...
Isteri adalah nadi jiwa
Kerana aku...
Suami adalah kemudi bahtera

Monday, May 7, 2007

INFO TERUNA

Malam ini saya dimaklumkan berita suka dan duka mengenai 2 teruna yang saya kenali. Teruna pertama, Sdr. Roslan Ramli, Pen. Akauntan UiTM SS17 telah dimasukkan ke Hospital PD kerana sakit tulang belakang, gaut dan darah tinggi. Semoga beliau cepat sembuh.

Teruna kedua, DYTM Raja Dr. Nazrin Shah akan mengakhiri zaman terunanya pada pertengahan Mei ini dengan pasangan yang masih dirahsiakan identitinya, yang pasti bukan dari kerabat Diraja. Siapapun bakal permaisurinya, kita doakan moga tuanku berdua bahagia hingga ke anak cucu. Amin...

Saturday, May 5, 2007

KONFLIK PERHUBUNGAN

Ketika ada seseorang yang sedang mengalami konflik dengan kita, hubungannya dengan kita menjadi buruk. Hilang kemesraan setiap kali berbicara dengannya. Kita ada kecenderungan untuk menghindari melihat wajahnya atau mendengar suaranya.

Keadaan seperti ini boleh terjadi antara kita dengan orang-orang yang dekat dengan kita. Seperti dengan rakan kerja,bos, teman, atau siapapun juga. Ketika kita mengharapkan komunikasi dengan mereka disaat seperti ini, kita mempergunakan surat, memo, atau email, hanya dengan alasan kita tidak mahu bertemu muka atau dengar suaranya. Tapi hal seperti ini akan membuat hubungan semakin buruk.

Sebuah buku berjudul Simply Strategic Stuff, memberikan tips untuk mengatasi permasalahan seperti in, “when you are in any type of relational conflict with the individual. Talk with him or her in person so that you can see the eyes, watch the body language, and sense the person’s spirit“. (halaman 178-179).

Saya berpendapat ianya tips yang bagus. Boleh kita terapkan dalam kepemimpinan ditempat kerja ataupun dalam kehidupan seharian kita. ;)

KEGAGALAN PEMIMPIN

Paul Paterson dalam sebuah artikel diblog-nya mengetengahkan 5 alasan utama penyebab kegagalan seorang pemimpin. Berikut ini saya berikan rangkuman singkat kelima alasan tersebut.

1. They disconnect from the people they are leading
Kenyataannya banyak pemimpin yang terlalu terpaku pada “serba-serbi kepemimpinan”, dan mereka melupakan bahwa kepemimpinan sesungguhnya adalah tentang orang yang dipimpin.

2. They become proud and refuse to be questioned
Pemimpin terkadang memiliki ego yang tinggi saat mereka berada dipuncak, memimpin orang-orang. Menghindar dari pertanyaan.

3. They are not authentic
Seorang pemimpin bukanlah menjadi orang lain, tapi menjadi diri sendiri dengan memaksimakan kekuatannya dan menutup kelemahannya.

4. They are authentic
Seorang pemimpin yang terlalu menjadi dirinya sendiri dan tidak mahu menerima pendapat orang lain juga tidak baik.

5. They do too much
Pemimpin seharusnya mendelegasikan tugas, bukan mengerjakan semuanya sendirian meskipun dirinya mampu.

Masih ingin tahu ulasan lengkap mengenai ide dari Paul Paterson ini, terutama untuk point ke 3 dan 4? Sila klik artikelnya di sini.

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA

Marilah bersama kita renungkan kata-kata ini:

Semoga segala perlakuan kita semua akan sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Tuhan pada setiap masa dan ketika Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT. Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat. Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat. Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat. Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat. Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat. Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat. Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuanmenjadi pesat.

TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat, kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat. Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat. Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,

KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat. Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat. Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat. Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat. Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat. Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat. Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan saja minyak gamat. Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat. Semua nak tunjuk kuat. Bila berjudi, percaya unsur kurafat. Tapi hidup pula yang melarat. Tali kasut dah tak berikat. Rambut pun jarang sikat.

Yang perempuan, pakai mini sekerat. Suka pakai baju ketat. Suka sangat menunjukkan pusat. Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat. Pakai pulak yang singkat-singkat. Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'. Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat. Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat. Duduk jauh berkirim surat. Bila berjumpa, tangan berjabat. Kemudian pakat lawan peluk siapa erat. Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat. Usah peduli agama dan adat. Usah takut Tuhan dan malaikat. Yang penting apa kita nak buat? Kita 'bukti' lah kita buat. Akhirnya perut kempis dah jadi bulat. Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat. Bila anak-anak tak cukup sifat, masa tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT. Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat. Habis manusia telah tersesat. Inilah dia fenomena masyarakat. Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat, Marilah kita pakat mengingat, Bahawa dunia hari ini makin singkat, Esok atau lusa mungkin kiamat, Sampai masa kita semua akan berangkat! . Berangkat menuju ke negeri akhirat. Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat. Masa tu, sendiri ingat. Umur mu banyak mana kamu buat ibadat...? Zaman muda mu, apa yang telah kamu buat...? Harta benda anda, dari mana anda dapat...? Ilmu anda, adakah anda manafaat...? Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa)

Saturday, April 28, 2007

BUAYA 17

Pagi semalam saya dan Chapchai Neerat@Fuad berkesempatan meraikan Fisol dan Razif (UIA) bermain golf di Harvard. Format permainan-strokeplay partnership-scratch. Saya (h/cap 20) dan Fuad (h/cap 16) bersetuju walaupun tidak diberi stroke oleh Fisol (h/cap 17) kerana beranggapan saya pernah menyaingi permainannya satu ketika dahulu di lapangan yang sama.

9 lubang yang pertama dan kedua kami tewas masing-masing 4 bola. Saya bermain 5 atas par dan Fuad 7 atas par. Tapi paling menakjubkan Fisol bermain gross 39-37 atau 13 bawah par. Kami hanya sekadar terpegun melihat permainannya yang mendahului kami seawal lubang pertama. Dengan keputusan itu maka dengan semangat kesukanan yang tinggi kami mengucapkan tahniah kepada Fisol dan pasangannya. Dan kami juga mengishtiharkan Fisol sebagai Buaya 17 dan hadiahnya ialah menu istemewa di Bedong, 2 pinggan mee rebus Abu.

Saturday, April 21, 2007

TO LOVE SOMEBODY

If you love a man..
Love him less but understand him more

If you love a woman..
Love her more but don't understand her at all.

Wednesday, April 18, 2007

ADAKAH AKU JUGA SI TANGGANG MODEN ITU?

Semalam kita pasti hiba bila media cetak dan elektronik memaparkan isu ibubapa yang sudah tua diabaikan anak sendiri. Ketika negara dan modal insannya dikerahkan tenaga untuk mencapai cita negara maju, ibubapa yang melahirkan modal insan ini pula disisihkan. Sungguh tidak mengenang jasa anak-anak sekarang. Seperti yang dilaporkan akhbar, ada golongan profesional yang menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan dengan membayar yuran serendah RM20. Alasan mudah yang diberi kerana orang tua mereka tidak kesunyian kalau berada di pusat jagaan. Maka selesailah tanggungjawab sebagai anak tanpa perlu lagi melawat dan menjaga mereka selepas itu. Inilah yang akhbar semalam gelarkan sebagai Si Tanggang Moden.

Saya sebagai anak yang juga punya ibubapa segera menginsafi dan muhasabah diri. Berbagai soalan (spt dibawah) yang perlu dijawab kerana bimbang tanpa disedari mungkin saya juga Si Tanggang Moden itu:

  • Berpuashatikah orang tua aku dengan layanan yang aku berikan?
  • Pernahkah aku berkata dan berbuat sesuatu yang telah mengecilkan hatinya?
  • Cukupkah duit yang diberi padanya setiap bulan?
  • Cukup kerapkah aku menziarahinya atau menelefon bertanya khabar?
  • Pernahkah aku derhaka akan perintahnya atau ingkar dengan permintaannya?
Walaupun ada jawapan positif terhadap semua persoalan tersebut, saya cukup sedar ianya belum mampu untuk membayar dan membalas segala pengorbanan, kasih sayang dan jasa mereka. Mereka memelihara kita bagai menatang air yang penuh dan sentiasa mengharapkan kita cepat membesar dan menjadi anak yang berguna. Setelah menjadi dewasa, ada pangkat dan harta, wajarkah kita menyisihkan mereka, mengeluh dengan karenah mereka. Lebih dahsyat lagi sehingga ada yang bertanya, bila lagi orang tua ni akan meninggal? BerAstaghfirullah banyak-banyak.....semoga tiada bisikan syaitan seperti itu dihati kita.

Mungkin kita perlu akui bahawa apa saja yang kita ada pada hari ini adalah milik ibubapa. Mereka adalah permulaan hidup kita. Tanpa mereka siapalah kita. Dengan itu mungkin kita akan rasa lebih selamat, selesa dan gembira kerana ibubapa sentiasa menjadi keutamaan di dalam senarai. Namun kita kena terus bertanya, ADAKAH AKU JUGA SI TANGGANG MODEN ITU?

p/s: Marilah kita berdoa agar Tuan Haji Muhd Kamil segera sembuh dari sebarang penyakit yang dihidapinya.

Monday, April 16, 2007

FIREFLY

Sekiranya anda memilih penerbangan tambang murah Firefly, sila pastikan anda tidak membuat pertukaran penerbangan yang telah mendapat status confirmed. Sebarang pertukaran penerbangan akan menyebabkan anda kerugian dengan pertambahan kos lain. Bagaimana?

Contoh: Penang <==> KB
Kos penerbangan asal/status confirmed RM120

Perubahan penerbangan:
Dipulangkan kepada anda (drp kos asal) RM90
tambahan Admin Fees RM65
Net refund
yang anda dapat RM25

Kos penerbangan yang baru (RM120-RM25) RM95

Kos sebenar yang anda tanggung disebabkan pertukaran penerbangan (120+95) RM215.

Sekiranya anda tidak pasti dengan tarikh penerbangan anda dan tidak bersedia untuk menanggung tambahan kos, saya ingin cadangkan agar anda memilih penerbangan MAS sahaja kerana kosnya pun lebih kurang RM200 juga. Boleh ubah bila-bila dan berapa kali ubah pun tak apa. Kalau nak batalkan flight pun anda tidak rugi apa-apa kerana tiket boleh diubah ke status OPEN selama 18 bulan (tempoh maksimum).

Itulah dia strategi perniagaann (Firefly) alaf baru dalam pasaran kompetitif atau mungkin juga secara tersirat pelanunan bentuk baru terhadap pengguna yang kepentingan dan haknya kian dinafikan.

Iklan Firefly dalam akhbar UM semalam terang-terang menyatakan pertukaran penerbangan dibenarkan walhal dalam Syarat Amnya (Clause 5.3 Flight Change: Flight Changes are not allowed once the booking is confirmed). Ini yang saya katakan strategi syarikat untuk mengabui mata pengguna melalui iklan dalam akhbar.

Harap anda berwaspada dengan Firefly.

Thursday, April 12, 2007

KASIH SUAMI

Pak Mat adalah seorang penduduk sebuah pondok di Selatan Thailand. Pada pertengahan bulan Mei yang lalu isterinya yang bernama Maznah telah meninggal dunia kerana diserang penyakit jantung.

Pak Mat yang berusia menjangkau empat puluhan telah diperhatikan oleh jiran-jirannya agak luar biasa iaitu beliau telah pergi ke kubur isterinya sebanyak tiga kali sehari. Pak Mat pergi pada waktu pagi, tengah hari dan petang untuk menyiram kubur isterinya lebih dari dua minggu secara berterusan. Ada setengah dari jiran dan penduduk tempatan beranggapan Pak Mat begitu cintakan isterinya.

Seorang saudaranya yang terdekat telah berkata, "Awak ni terlalu sangat cintakan isteri sehingga sanggup berbuat demikian, yang mana tak ada siapa lagi di kampung ini buat begitu." Pak Mat menjawab, "sebenarnya sebelum Maznah hendak menghembuskan nafas yang terakhirnya, beliau telah berpesan kepada saya, kalau hendak kahwin pun tunggulah sehingga rumput di kuburnya tumbuh dahulu." " Oleh yang demikian saya terpaksa siram kuburnya supaya rumput cepat tumbuh......"

Tuesday, April 10, 2007

ISU RASUAH LAGI!!!!

Mendengar berita tv pada malam ini saja telah membuat saya terkedu dengan perasaan yang bercampur baur....marah, kecewa, hina, sedih dan malu. Anak bongsu yang berusia 10 tahun pula amat teruja apabila mendengar berita yang berkaitan dengan kampong Tok Wannya di Kuala Kedah. Apakah berita itu?

Sistem pemberian tender bagi projek pembinaan kompleks LKIM Kuala Kedah telah dipersoalkan ketelusannya dan telah diadukan kepada BPR. Dilaporkan juga bahawa nelayan kecewa dengan lokasi kompleks yang jauh dan tidak sesuai untuk bot mendarat dan memunggah hasil tangkapan kerana airnya cetek dan infrastruktur lain yang tidak sempurna. Akibatnya kompleks yang nampaknya telah siap tapi tidak dapat digunakan lagi. Nelayan terkilan kemudahan bertukar menjadi beban akhirnya,.... hanya kerana RASUAH.

Lagi laporan rasuah di TV malam ini, projek LADA di Langkawi (yang belum diluluskan peruntukan oleh kementerian kewangan) telah pun dilaksanakan. Kos projek dan kontraktor yang buat kerja tersebut telah dipersoalkan kewajaran dan ketelusannya.

Jika benar berlaku seperti apa yang dilaporkan, kes rasuah memang makin menjadi-jadi dalam masyarakat kita dan seakan telah menjadi satu budaya dalam kehidupan. Apa telah hilangkah hak harga diri? Siapa lagi yang ada, yang boleh dipercayai? Mengapa sanggup biarkan lidah menutur kata tapi hati lain bicara? Mengapa dengan amanah dan sedikit kuasa yang diberi sanggup dikhianati? Mengapa tidak kita bersyukur dengan nikmatNya dan tak perlulah tamak sampai gila harta. Mungkin ini yang dikatakan oleh Nash, pelanunan dalam bentuk baru.

Sebagai anak nelayan yang membesar dengan penuh cabaran dan dugaan hidup sudah pasti tidak ingin melihat isu rasuah ini dapat meragut maruah bangsa dan membantut pembangunan negara. Semoga kita tabah dan teguh mendidik diri dengan nilai murni dan taat dengan ajaran Islam yang suci.

Sunday, April 8, 2007

2B2L

Bagaimanakah caranya agar kita bersikap profesional melihat diri dan orang lain, sehingga tidak terjebak ke dalam sikap merendahkan diri orang lain dan menganggap mulia diri? Saya mencadangkan 2B2L kepada persoalan tersebut:

  • Berani mengakui jasa dan kelebihan orang lain
  • Bijak terhadap kekurangan dan kesalahan orang lain
  • Lihat kekurangan diri sendiri
  • Lupakan jasa dan kebaikan diri

Wallahua'lam..

JANGAN TUNGGU ROH MERINTIH

Setiap insan yang hidup pasti akan mati. Malaikat Izrael pasti akan datang untuk mencabut nyawa, memisahkan roh dari jasad. Tatkala itulah roh akan merintih rayu berdoa agar Allah swt memberikan sedikit masa lagi kepadanya untuk hidup. Roh mohon tangguh untuk tidak mati, bukan dalam tempoh yang lama tapi sekejap sahaja. Mengapa? Roh mohon agar ianya diberi kesempatan untuk infak fisabilillah....tapi sayang seribu kali sayang semuanya sudah terlambat.

Baru kita sedar ketika itu hartabenda sudah tiada gunanya, wangringgit sudah tiada nilainya JIKA semasa hayat dikandung badan kita bakhil, kedekut untuk bersedekah, berkira untuk menderma ke jalan Allah, kurang beramal dan segalanya.... yang patut dilakukan oleh hamba terhadap Allah. Maka sia-sialah usia yang kita habiskan selama itu..(sejak lahir hingga Izrael tiba untuk mencabut nyawa).

Saya ingatkan diri saya dan juga pembaca budiman (p/s: kepada kawan karib tolong ingatkan kalau saya lupa), jangan kita tunggu sehingga roh merintih... Segerakan infak fisabilillah semasa ajal belum tiba, tingkatkan iman dan takwa dan jauhi dari melakukan perkara yang mungkar.

Saturday, April 7, 2007

WHO WE ARE

A popular speaker started off his lecture by holding up RM100. In the room teeming with people, he asked "who would like this RM100?". Hands started going up. He said, "I'm going to give this RM100 to one of you but first, let me do this." He proceeded to crumple the RM100 note up. He then asked, "now who wants it?". Still the hands were up in the air.

"Well", he continued, "what if I do this?". He dropped it on the floor and started to grind it into the floor with his shoe. He picked it up, now crumpled and dirty. "Now who still wants it?" Still the hands went into the air.

"My friends, you have all learned a very valuable lesson. No matter what I did to the money, you still wanted it because it did not decrease in value. It was still worth RM100. Many times in our lives, we are dropped, crumpled and ground into the dirt by the decisions we make and the circumstances that come our way. We feel as though we are worthless; but no matter what happened or what will happen, you will never lose your value".

Dirty or clean, crumpled or finely creased, you are still priceless to those who love you. The worth of our lives come; not in what we do or who we know, but by....Who We Are

Friday, April 6, 2007

BERSYUKUR KERANA SEDAR

Bersyukur kerana kita adalah antara hamba yang sedar dan insaf untuk segera bersolat di kala sibuk dengan tugas. Kita sedar dengan tuntutan solat...tugas-tugas lain tidak penting kerana tuntutan Allah untuk bersolat lagi besar..Allah s.w.t maha besar.

Kalau...
tugas-tugas di pejabat,
meja kopi di restoran,
tv di rumah,
perlawanan bola di stadium,
permainan golf di lapangan,
dapat ditinggalkan sebentar untuk segera bersolat maka insyaAllah kita akan dapat merasakan fazilat solat yang sebenarnya...

Wallahualam.

Wednesday, April 4, 2007

TAKZIAH

RTM Kedah dan pendengar radionya telah kehilangan mutiara bernilai yang menjadi kesayangan ramai, Azharuddin Othman telah dijemput kembali oleh Allah s.w.t malam tadi. Allahyarham dikenali sebagai Pak Din DJ merupakan antara perintis deejay radio semenjak RTM Kedah mula beroperasi. Pendengar pasti merindui celotehnya yang bersahaja..apa saja program, isu atau topik yang dikendalikan bisa membuat pendengar sukar untuk mengubah ke saluran yang lain.

Semenjak tahun lepas lagi penyakitnya agak serius dan beberapa bulan pendengar merindui suaranya yang tidak ke udara kerana cuti sakit. Awal tahun ini, pendengar kembali gembira kerana suaranya ke udara lagi dengan anggapan kesihatannya kembali pulih. Rupa-rupanya tidak..., demi pendengar setia, digagahi juga melaksanakan tugasnya walaupun diri sendiri derita menangung kesakitan. Itulah dia Pak Din kesayangan ramai.

Allahyarham semasa hayatnya adalah seorang yang tidak sombong, peramah dan sentiasa menghormati orang. Secara kebetulan saya sendiri berkesempatan minum semeja dengannya di Restoran Nasmir dengan seorang lagi teman saya yang dikenalinya. Kami berborak panjang... selepas bersurai dari situ baru saya tahu bahawa dia adalah seorang DJ, patutlah kami cepat mesra macam telah lama kenal. Selepas itu saya hanya sempat jumpa dengannya dua tiga kali sahaja. Sehinggalah malam tadi saya terkejut dan sedih mendapat berita kematiannya.

Allahyarham akan dikebumikan petang ini di kampung halamannya di Rengit, Johor. Marilah sama-sama kita doakan agar rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Tuesday, April 3, 2007

Dashboard

Hari ini hanya terbatas untuk mengemaskini dashboard saja. Mungkin anda boleh memberi komen untuk tujuan penambahbaikan.

Monday, April 2, 2007

IMPIAN TERLAKSANA

Tercipta sejarah hari ini untuk menceritakan apa yang tersirat dan tersurat selama ini bersama pembaca budiman