Saturday, April 28, 2007

BUAYA 17

Pagi semalam saya dan Chapchai Neerat@Fuad berkesempatan meraikan Fisol dan Razif (UIA) bermain golf di Harvard. Format permainan-strokeplay partnership-scratch. Saya (h/cap 20) dan Fuad (h/cap 16) bersetuju walaupun tidak diberi stroke oleh Fisol (h/cap 17) kerana beranggapan saya pernah menyaingi permainannya satu ketika dahulu di lapangan yang sama.

9 lubang yang pertama dan kedua kami tewas masing-masing 4 bola. Saya bermain 5 atas par dan Fuad 7 atas par. Tapi paling menakjubkan Fisol bermain gross 39-37 atau 13 bawah par. Kami hanya sekadar terpegun melihat permainannya yang mendahului kami seawal lubang pertama. Dengan keputusan itu maka dengan semangat kesukanan yang tinggi kami mengucapkan tahniah kepada Fisol dan pasangannya. Dan kami juga mengishtiharkan Fisol sebagai Buaya 17 dan hadiahnya ialah menu istemewa di Bedong, 2 pinggan mee rebus Abu.

Saturday, April 21, 2007

TO LOVE SOMEBODY

If you love a man..
Love him less but understand him more

If you love a woman..
Love her more but don't understand her at all.

Wednesday, April 18, 2007

ADAKAH AKU JUGA SI TANGGANG MODEN ITU?

Semalam kita pasti hiba bila media cetak dan elektronik memaparkan isu ibubapa yang sudah tua diabaikan anak sendiri. Ketika negara dan modal insannya dikerahkan tenaga untuk mencapai cita negara maju, ibubapa yang melahirkan modal insan ini pula disisihkan. Sungguh tidak mengenang jasa anak-anak sekarang. Seperti yang dilaporkan akhbar, ada golongan profesional yang menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan dengan membayar yuran serendah RM20. Alasan mudah yang diberi kerana orang tua mereka tidak kesunyian kalau berada di pusat jagaan. Maka selesailah tanggungjawab sebagai anak tanpa perlu lagi melawat dan menjaga mereka selepas itu. Inilah yang akhbar semalam gelarkan sebagai Si Tanggang Moden.

Saya sebagai anak yang juga punya ibubapa segera menginsafi dan muhasabah diri. Berbagai soalan (spt dibawah) yang perlu dijawab kerana bimbang tanpa disedari mungkin saya juga Si Tanggang Moden itu:

  • Berpuashatikah orang tua aku dengan layanan yang aku berikan?
  • Pernahkah aku berkata dan berbuat sesuatu yang telah mengecilkan hatinya?
  • Cukupkah duit yang diberi padanya setiap bulan?
  • Cukup kerapkah aku menziarahinya atau menelefon bertanya khabar?
  • Pernahkah aku derhaka akan perintahnya atau ingkar dengan permintaannya?
Walaupun ada jawapan positif terhadap semua persoalan tersebut, saya cukup sedar ianya belum mampu untuk membayar dan membalas segala pengorbanan, kasih sayang dan jasa mereka. Mereka memelihara kita bagai menatang air yang penuh dan sentiasa mengharapkan kita cepat membesar dan menjadi anak yang berguna. Setelah menjadi dewasa, ada pangkat dan harta, wajarkah kita menyisihkan mereka, mengeluh dengan karenah mereka. Lebih dahsyat lagi sehingga ada yang bertanya, bila lagi orang tua ni akan meninggal? BerAstaghfirullah banyak-banyak.....semoga tiada bisikan syaitan seperti itu dihati kita.

Mungkin kita perlu akui bahawa apa saja yang kita ada pada hari ini adalah milik ibubapa. Mereka adalah permulaan hidup kita. Tanpa mereka siapalah kita. Dengan itu mungkin kita akan rasa lebih selamat, selesa dan gembira kerana ibubapa sentiasa menjadi keutamaan di dalam senarai. Namun kita kena terus bertanya, ADAKAH AKU JUGA SI TANGGANG MODEN ITU?

p/s: Marilah kita berdoa agar Tuan Haji Muhd Kamil segera sembuh dari sebarang penyakit yang dihidapinya.

Monday, April 16, 2007

FIREFLY

Sekiranya anda memilih penerbangan tambang murah Firefly, sila pastikan anda tidak membuat pertukaran penerbangan yang telah mendapat status confirmed. Sebarang pertukaran penerbangan akan menyebabkan anda kerugian dengan pertambahan kos lain. Bagaimana?

Contoh: Penang <==> KB
Kos penerbangan asal/status confirmed RM120

Perubahan penerbangan:
Dipulangkan kepada anda (drp kos asal) RM90
tambahan Admin Fees RM65
Net refund
yang anda dapat RM25

Kos penerbangan yang baru (RM120-RM25) RM95

Kos sebenar yang anda tanggung disebabkan pertukaran penerbangan (120+95) RM215.

Sekiranya anda tidak pasti dengan tarikh penerbangan anda dan tidak bersedia untuk menanggung tambahan kos, saya ingin cadangkan agar anda memilih penerbangan MAS sahaja kerana kosnya pun lebih kurang RM200 juga. Boleh ubah bila-bila dan berapa kali ubah pun tak apa. Kalau nak batalkan flight pun anda tidak rugi apa-apa kerana tiket boleh diubah ke status OPEN selama 18 bulan (tempoh maksimum).

Itulah dia strategi perniagaann (Firefly) alaf baru dalam pasaran kompetitif atau mungkin juga secara tersirat pelanunan bentuk baru terhadap pengguna yang kepentingan dan haknya kian dinafikan.

Iklan Firefly dalam akhbar UM semalam terang-terang menyatakan pertukaran penerbangan dibenarkan walhal dalam Syarat Amnya (Clause 5.3 Flight Change: Flight Changes are not allowed once the booking is confirmed). Ini yang saya katakan strategi syarikat untuk mengabui mata pengguna melalui iklan dalam akhbar.

Harap anda berwaspada dengan Firefly.

Thursday, April 12, 2007

KASIH SUAMI

Pak Mat adalah seorang penduduk sebuah pondok di Selatan Thailand. Pada pertengahan bulan Mei yang lalu isterinya yang bernama Maznah telah meninggal dunia kerana diserang penyakit jantung.

Pak Mat yang berusia menjangkau empat puluhan telah diperhatikan oleh jiran-jirannya agak luar biasa iaitu beliau telah pergi ke kubur isterinya sebanyak tiga kali sehari. Pak Mat pergi pada waktu pagi, tengah hari dan petang untuk menyiram kubur isterinya lebih dari dua minggu secara berterusan. Ada setengah dari jiran dan penduduk tempatan beranggapan Pak Mat begitu cintakan isterinya.

Seorang saudaranya yang terdekat telah berkata, "Awak ni terlalu sangat cintakan isteri sehingga sanggup berbuat demikian, yang mana tak ada siapa lagi di kampung ini buat begitu." Pak Mat menjawab, "sebenarnya sebelum Maznah hendak menghembuskan nafas yang terakhirnya, beliau telah berpesan kepada saya, kalau hendak kahwin pun tunggulah sehingga rumput di kuburnya tumbuh dahulu." " Oleh yang demikian saya terpaksa siram kuburnya supaya rumput cepat tumbuh......"

Tuesday, April 10, 2007

ISU RASUAH LAGI!!!!

Mendengar berita tv pada malam ini saja telah membuat saya terkedu dengan perasaan yang bercampur baur....marah, kecewa, hina, sedih dan malu. Anak bongsu yang berusia 10 tahun pula amat teruja apabila mendengar berita yang berkaitan dengan kampong Tok Wannya di Kuala Kedah. Apakah berita itu?

Sistem pemberian tender bagi projek pembinaan kompleks LKIM Kuala Kedah telah dipersoalkan ketelusannya dan telah diadukan kepada BPR. Dilaporkan juga bahawa nelayan kecewa dengan lokasi kompleks yang jauh dan tidak sesuai untuk bot mendarat dan memunggah hasil tangkapan kerana airnya cetek dan infrastruktur lain yang tidak sempurna. Akibatnya kompleks yang nampaknya telah siap tapi tidak dapat digunakan lagi. Nelayan terkilan kemudahan bertukar menjadi beban akhirnya,.... hanya kerana RASUAH.

Lagi laporan rasuah di TV malam ini, projek LADA di Langkawi (yang belum diluluskan peruntukan oleh kementerian kewangan) telah pun dilaksanakan. Kos projek dan kontraktor yang buat kerja tersebut telah dipersoalkan kewajaran dan ketelusannya.

Jika benar berlaku seperti apa yang dilaporkan, kes rasuah memang makin menjadi-jadi dalam masyarakat kita dan seakan telah menjadi satu budaya dalam kehidupan. Apa telah hilangkah hak harga diri? Siapa lagi yang ada, yang boleh dipercayai? Mengapa sanggup biarkan lidah menutur kata tapi hati lain bicara? Mengapa dengan amanah dan sedikit kuasa yang diberi sanggup dikhianati? Mengapa tidak kita bersyukur dengan nikmatNya dan tak perlulah tamak sampai gila harta. Mungkin ini yang dikatakan oleh Nash, pelanunan dalam bentuk baru.

Sebagai anak nelayan yang membesar dengan penuh cabaran dan dugaan hidup sudah pasti tidak ingin melihat isu rasuah ini dapat meragut maruah bangsa dan membantut pembangunan negara. Semoga kita tabah dan teguh mendidik diri dengan nilai murni dan taat dengan ajaran Islam yang suci.

Sunday, April 8, 2007

2B2L

Bagaimanakah caranya agar kita bersikap profesional melihat diri dan orang lain, sehingga tidak terjebak ke dalam sikap merendahkan diri orang lain dan menganggap mulia diri? Saya mencadangkan 2B2L kepada persoalan tersebut:

  • Berani mengakui jasa dan kelebihan orang lain
  • Bijak terhadap kekurangan dan kesalahan orang lain
  • Lihat kekurangan diri sendiri
  • Lupakan jasa dan kebaikan diri

Wallahua'lam..

JANGAN TUNGGU ROH MERINTIH

Setiap insan yang hidup pasti akan mati. Malaikat Izrael pasti akan datang untuk mencabut nyawa, memisahkan roh dari jasad. Tatkala itulah roh akan merintih rayu berdoa agar Allah swt memberikan sedikit masa lagi kepadanya untuk hidup. Roh mohon tangguh untuk tidak mati, bukan dalam tempoh yang lama tapi sekejap sahaja. Mengapa? Roh mohon agar ianya diberi kesempatan untuk infak fisabilillah....tapi sayang seribu kali sayang semuanya sudah terlambat.

Baru kita sedar ketika itu hartabenda sudah tiada gunanya, wangringgit sudah tiada nilainya JIKA semasa hayat dikandung badan kita bakhil, kedekut untuk bersedekah, berkira untuk menderma ke jalan Allah, kurang beramal dan segalanya.... yang patut dilakukan oleh hamba terhadap Allah. Maka sia-sialah usia yang kita habiskan selama itu..(sejak lahir hingga Izrael tiba untuk mencabut nyawa).

Saya ingatkan diri saya dan juga pembaca budiman (p/s: kepada kawan karib tolong ingatkan kalau saya lupa), jangan kita tunggu sehingga roh merintih... Segerakan infak fisabilillah semasa ajal belum tiba, tingkatkan iman dan takwa dan jauhi dari melakukan perkara yang mungkar.

Saturday, April 7, 2007

WHO WE ARE

A popular speaker started off his lecture by holding up RM100. In the room teeming with people, he asked "who would like this RM100?". Hands started going up. He said, "I'm going to give this RM100 to one of you but first, let me do this." He proceeded to crumple the RM100 note up. He then asked, "now who wants it?". Still the hands were up in the air.

"Well", he continued, "what if I do this?". He dropped it on the floor and started to grind it into the floor with his shoe. He picked it up, now crumpled and dirty. "Now who still wants it?" Still the hands went into the air.

"My friends, you have all learned a very valuable lesson. No matter what I did to the money, you still wanted it because it did not decrease in value. It was still worth RM100. Many times in our lives, we are dropped, crumpled and ground into the dirt by the decisions we make and the circumstances that come our way. We feel as though we are worthless; but no matter what happened or what will happen, you will never lose your value".

Dirty or clean, crumpled or finely creased, you are still priceless to those who love you. The worth of our lives come; not in what we do or who we know, but by....Who We Are

Friday, April 6, 2007

BERSYUKUR KERANA SEDAR

Bersyukur kerana kita adalah antara hamba yang sedar dan insaf untuk segera bersolat di kala sibuk dengan tugas. Kita sedar dengan tuntutan solat...tugas-tugas lain tidak penting kerana tuntutan Allah untuk bersolat lagi besar..Allah s.w.t maha besar.

Kalau...
tugas-tugas di pejabat,
meja kopi di restoran,
tv di rumah,
perlawanan bola di stadium,
permainan golf di lapangan,
dapat ditinggalkan sebentar untuk segera bersolat maka insyaAllah kita akan dapat merasakan fazilat solat yang sebenarnya...

Wallahualam.

Wednesday, April 4, 2007

TAKZIAH

RTM Kedah dan pendengar radionya telah kehilangan mutiara bernilai yang menjadi kesayangan ramai, Azharuddin Othman telah dijemput kembali oleh Allah s.w.t malam tadi. Allahyarham dikenali sebagai Pak Din DJ merupakan antara perintis deejay radio semenjak RTM Kedah mula beroperasi. Pendengar pasti merindui celotehnya yang bersahaja..apa saja program, isu atau topik yang dikendalikan bisa membuat pendengar sukar untuk mengubah ke saluran yang lain.

Semenjak tahun lepas lagi penyakitnya agak serius dan beberapa bulan pendengar merindui suaranya yang tidak ke udara kerana cuti sakit. Awal tahun ini, pendengar kembali gembira kerana suaranya ke udara lagi dengan anggapan kesihatannya kembali pulih. Rupa-rupanya tidak..., demi pendengar setia, digagahi juga melaksanakan tugasnya walaupun diri sendiri derita menangung kesakitan. Itulah dia Pak Din kesayangan ramai.

Allahyarham semasa hayatnya adalah seorang yang tidak sombong, peramah dan sentiasa menghormati orang. Secara kebetulan saya sendiri berkesempatan minum semeja dengannya di Restoran Nasmir dengan seorang lagi teman saya yang dikenalinya. Kami berborak panjang... selepas bersurai dari situ baru saya tahu bahawa dia adalah seorang DJ, patutlah kami cepat mesra macam telah lama kenal. Selepas itu saya hanya sempat jumpa dengannya dua tiga kali sahaja. Sehinggalah malam tadi saya terkejut dan sedih mendapat berita kematiannya.

Allahyarham akan dikebumikan petang ini di kampung halamannya di Rengit, Johor. Marilah sama-sama kita doakan agar rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Tuesday, April 3, 2007

Dashboard

Hari ini hanya terbatas untuk mengemaskini dashboard saja. Mungkin anda boleh memberi komen untuk tujuan penambahbaikan.

Monday, April 2, 2007

IMPIAN TERLAKSANA

Tercipta sejarah hari ini untuk menceritakan apa yang tersirat dan tersurat selama ini bersama pembaca budiman