Tuesday, August 28, 2007

Catatan di Hari Jadi

Hampir terlupa untuk membuat catatan kehidupan pada bulan ini. Pada 10 Ogos telah genap usia 43 tahun. Sambutan hari jadi kali ini memang mengejutkan kerana isteri dan anak-anak meraikan pada 9 Ogos, jam 9 malam. Selesai menonton Buletin Utama TV3, masing-masing keluar membawa kek dan hadiah. Kelu lidah tak dapat berkata...terharu rasa di kalbu. Segera anak bungsu menjelaskan, "kan esok pagi papa nak ke Shah Alam dan Segamat, jadi kita sambut harijadi papa malam ni lah". Terima kasih anak-anak kesayanganku. Terima kasih isteri, kau kekasih awal dan akhirku.

Keesokannya, setelah habis mesyuarat di Shah Alam aku dan dua orang sahabat, Sdr Kamil dan Sdr Azizul bertolak ke Segamat untuk menyertai Segamat Masters. Sekali lagi hari jadi diraikan di pertengahan jalan, Tangkak. Sekadar cuma 1 biji durian kawin dari Pahang untuk kami bertiga. Itu sudah cukup untuk aku menghargai dan mengabadi dalam memori persahabatan.

Dalam pertandingan keesokannya pula, aku memenangi kategori novelty 'ntp' berupa sekampit beras Faiza dan 2 tiub bola. Sungguh gembira kerana ini juga berupa hadiah pada hari jadi. Syukur..

Kerana banyak aktiviti dan tugas yang perlu dilaksanakan, harijadi tahun ini aku terlupa seketika bahawa angka usia telah bertambah satu, lupa nikmat yang Allah berikan selama ini, tidak menyedari amalan selama 42 tahun belum mencukupi dan perlu muhasabah diri. Dunia kata pergi kubur kata mari...Kesedaran ini terdetik tatkala aku terlupa untuk menjemput anak di sekolah walaupun baru 2 minit menerima panggilan telefonnya, keluar dari rumah menaiki kereta dan melewati sekolahnya (tapi tidak berhenti) sehinggalah hampir 10 km pemanduan baru menyedari bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjemput anak dan segera berpatah balik ke sekolah..Sepanjang jalan aku beristigfar, mohon keampunanMu ya Allah, aku tidak lagi muda seperti dulu, dah tua rupanya aku, teguhkan imanku dan hatiku yang sentiasa mengingati kekuasaanMu ya Allah...

2 comments:

Anonymous said...

Art,

Orang lupa ambil anak ni masa buat PhD je...

Lain-lain masa.... kena fikirlah!

Anonymous said...

Fikiran masa tu kusut pasal dok fikir rule 'rake in the bunker' kot.